Nampaknya kerusi teratas hip-hop Malaysia sudah dirampas semula oleh seorang insan berkarisma besar yang lantas menggelarkan dirinya sebagai “presiden”. Joe Flizzow kembali dengan album solo pertamanya selepas drama berlarutan Too Phat bersama sahabat lama dan rakan seperjuangan Malique, yang telahpun kelip dengan ‘statement’ solonya tersendiri. Album ‘The President’ yang gah megah, mengandungi kolaborasi bersama legenda hip-hop dunia dan tempatan mencuri perhatian dunia muzik popular sekaligus menarik semula minat pendengar terhadap karisma dan lagu-lagu Joe sendiri. Album ini merupakan projek tempatan keutamaan bersama Warner Music Malaysia dan syarikat rapper itu sendiri, Kartel. Diperkenalkan dengan single yang ketara unsur “Malaysia”-nya, “Do It, Duit”, yang deras dan menyengat liriknya, ‘The President’, menurut pengarangnya sendiri, sebenarnya lebih menceritakan tentang penguasaan diri dan impian yang dekat di hati seseorang individu. Untuk salah satu bakal hit-nya tahun ini, Joe turut menghidupkan semula lagu malar segar Search, “Isabella”, selaku korus single seterusnya.

Kolaborasi bersama lagenda hip-hop KRS-One semestinya menjadi kejayaan automatik album solo sulung Joe ini. Disekitar pelosok album ini juga terselit gandingan-gandingan bersama Jin, rapper Cina tersohor dari Amerika, Hady Mirza, Thaitanium dari Thailand, penyanyi soul Joeniar Arief dari Indonesia dan juga rakan karibnya Phlowtron. Rentak dan alunan muzik ‘The President’ dihasilkan produser hip-hop muda serantau yang semakin naik di arena muzik dunia seperti TerryTyeLee, Don M dan Syaheed Khan, DJ Cza serta Koko, seorang produser yang menetap di San Francisco.Joe yang baru-baru ini dinamakan di samping Jaclyn Victor, Angkasawan Negara Datuk Sheikh Muszaphar, Bernard Chauly, Melissa Indot dan Sazzy Falak di dalam senarai ‘Top 40 Under 40 – Poised for Power’ keluaran majalah Prestige Malaysia nyata menuju ke wawasan yang lebih global setelah menawan wilayah sendiri.
Kata Joe di sidang media pelancaran ‘The President’ yang diadakan di Hard Rock Café Kuala Lumpur, beliau dan gerombolan ataupun ‘entourage’-nya (yang terdiri daripada DJ Cza, DJ T-Bone, DJ Goldfish, Phlowtron dan juga adik kandungnya sendiri, DJ Iman) bakal turun padang ke Indonesia untuk meluaskan promosi album dwibahasa itu. Alhamdulillah, nampak seperti semuanya berjalan lancar dan sempurna ‘comeback’ presiden hip-hop tanahair kita ini, namun setiap pemimpin ada pembangkangnya, dan secara jujurnya ada kedengaran ura-ura kekecewaan serta kritikan terhadap percubaan solo pertama Joe ini. Namun, itu semua adalah lumrah dan juga petanda betapa kuatnya kesan bintang Joe di arena popular tanahair. Sebahagian daripada komuniti hip-hop Malaysia telah bersuara, sekarang mikrofon di tangan peminat dan pencinta hip-hop pula … perdengarkan, nilai dan undilah!
*Peminat-peminat Joe Flizzow jangan ketinggalan bersama Joe serta barisan artis antarabangsa, serantau dan tempatan di konsert besar-besaran Sunburst Festival KL 2009 pada 21 Mac ini.
credits: gua.com.my
Recent Comments