Setelah tiga minggu bermain di corong-corong radio urban tempatan, ‘single’ terbaru dari pejuang hip-hop negara, Altimet, iaitu “Mimpi”, sudah mula diperkata-katakan oleh pendengar umum. Disampaikan bersama Ning, selaku artis jemputan bagi menyanyikan bahagian korus yang merupakan sampel berhantu daripada lagu hit 80-an kumpulan Eurythmics, “Sweet Dreams”, dialihbahasakan ke bahasa ibunda, trek ini memang menusuk. Apatah lagi dengan rentak hip-hop berat alunan Avex, seorang penerbit yang bertapak di Melbourne, dan juga lirik yang pedas dan panas ditujukan pada trend semasa sesetengah artis pop negara Malaysia yang mengejar glamer murahan dan kemewahan.

Kata Altimet, ini hanya sebahagian daripada intifada asal untuk karya radionya yang terbaru. “Ya, memang (liriknya) saya akui sedikit makan dalam tetapi yang lebih diniatkan dengan lagu ini ialah sebagai komentari untuk keadaan semasa. Dan sebenarnya kalau kita minat hip-hop kita memang tahu bahawa dalam sejarah ekpresi hip-hop itulah seni dan fungsi asalnya – sebagai komentari sosial,” terang Altimet. Tambah emcee yang boleh digelar sebagai perintis hip-hop alternatif generasi baru, lagu “Mimpi” juga boleh dilihat sebagai satu ironi budaya pop di sini yang seolah-olah kembali ke era materialisme 80-an. Disebalik perwatakan yang kelakar dan ceria, nyata bahawa Altimet sebagai seorang artis yang sentiasa sahaja berfalsafah dan intelek dalam penggubahan produk pop-nya, demi membuka minda dan mendidik pendengar sambil berhibur.
“Yes, I’m proud of the song…dan yang dimahukan adalah supaya ia sampai ke telinga pendengar. Saya percaya bahawa orang berkata-kata itu wajib dan (berlaku pada) mula-mula sahaja. Selepas itu, saya yakin ia akan beraksi dengan baik dan berjaya juga di carta disebalik semuanya.” “Lebih-lebih lagi dengan Ning yang menyanyi kan?” ulasnya lagi, ketawa ramah. Jadi bukak-bukaklah telinga tu, jenguk-jenguk sikit kat radio untuk lagu “Mimpi” ni; kalau terdengar kak Ning bawak lagu Annie Lennox pulak tiba-tiba dalam Bahasa Malaysia, ha – itulah lagunya!
credits: gua.com.my
Recent Comments