Powered by Max Banner Ads 

Album Baru S07 Sangat Lesu

March 24, 2009 by krsuicide  
Filed under Filem & Album

Sejujurnya saya tidak suka dengan album studio baru Sheila On 7 (S07) ini . Ia kedengaran begitu lesu serta menyedihkan sekali. Malah, tidak ada karya baru yang lebih segar yang cuba mereka tampilkan dalam album kali ini.

Semuanya kedengaran sama saja. Dari awal hingga akhir lagu di dalam album ini , kebanyakannya bergerak secara monotonous dan akhirnya ia akan membuatkan anda berasa cukup bosan.

Melainkan jika anda adalah peminat hardcore S07. Anda mungkin boleh menerima keadaan ini. Apatah lagi apabila muzik  dalam album ini lebih kurang sama seperti album pertama mereka dulu, Sheila On 7.

Tapi, persoalan yang harus kita bangkitkan di sini ialah mengapa begini jadinya S07?

Setelah pernah berada di kemuncak satu ketika dulu dan menjadi band muzik rock pertama era 1990-an yang berjaya menawan industri muzik Malaysia, mengapa muzik mereka masih lagi di takuk yang lama?

Apa yang mengejutkan, kualiti muzik mereka juga jauh lebih teruk daripada apa yang pernah mereka hasilkan dulu. Saya tidak pasti yang tidak kena dengan S07 sekarang ini.

Mana perginya idea serta kreativiti hebat mereka yang satu ketika dulu sangat dikagumi peminat mereka serta band muzik lawan mereka yang lain? Tetapi apa yang pasti, karya lagu mereka sudah tidak sesuai lagi dengan selera serta citarasa pendengar muzik masakini.

Betapa yang menjadi single pertama S07 misalnya adalah sebuah lagu yang fun tanpa tempo yang berlebihan. Tapi, sekiranya anda mengimbas perjalanan muzik mereka dulu, Betapa bukanlah sebuah karya lagu terbaik yang pernah mereka cipta setakat ini.

Begitu juga dengan Yang Terlewatkan yang menjadi single kedua mereka untuk album ini. Lagu ini mempunyai melodi yang sederhana bersama petikan akustik dan string section. Tapi, lagu ini hanya sekadar boleh tahan saja.

Lagu Jalan Keluar yang cuba mengulangi nuansa lagu Lihat, Dengar dan Rasakan dalam album Kisah Klasik Masa Depan pula bagi saya adalah sebuah lagu yang memiliki sedikit elemen puitis. Tetapi saya rasa, ada di antara sound yang digunakan dalam lagu ini yang tidak patut digunakan mereka. Ia tidak kena dengan stail muzik mereka.

Lagu yang boleh saya layan di dalam album hanya Segalanya serta Sampai Kapan. Tetapi ia bukanlah lagu favourite saya. Tetapi saya layan kedua-duanya kerana saya tidak punya pilihan lain.

sumber: murai

Hebatnya Cinta Adam Dan Hawa

March 24, 2009 by krsuicide  
Filed under Filem & Album

Sepanjang pengalaman saya mengulas album penyanyi luar mahu pun tempatan, tidak pernah lagi saya berdepan dengan sebuah album studio baru seperti Misha Omar ini.

Maksud saya pada saat album ini dikeluarkan di pasaran, saya sudah pun mengetahui hampir kesemua lagu di dalam album ini. Apakan tidak, beberapa single lagi di dalam album ini telah pun kerap diputarkan di radio sewaktu pembikinan album ini masih lagi dibuat.

Single tersebut adalah Nafas Cahaya ciptaan M Nasir & Loloq, Sembunyi (Aidit Alfian) serta Cinta Adam & Hawa (Azmeer/Loloq).

Tidak terkecuali 2 single yang dihasilkan untuk lagu tema filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 serta SepiKu Seru (Ajai/Habsah Hassan & Shuhaimi Baba) iaitu serta Cinta nyanyian asal Melly Goeslow dan Kris Dayanti.

Sungguhpun begitu saya masih tetap berasa teruja untuk mendengar keseluruhan album yang mengambil masa yang cukup lama disiapkan ini kerana saya juga ingin mendengar lagu lain yang turut dimuatkani.

Lalu, saya menemukan Jawapanmu ciptaan Cat Farish, Sampai Di Sini (Ajai) serta Cinta Suci (Nur Fatima). Jawapanmu memiliki melodi yang lembut dan mempesonakan. Ada stail macam lagu Indonesia. Kewujudan brass section bersama suara latar memberikan impak pada lagu ini.

Tapi, apa yang saya suka, Misha telah menyanyikan lagu ini dengan feel Melayu dan jiwa Malaysia yang cukup kental. Jadi, sejauh mana pun lagu ini dikatakan mempunyai persamaan seperti lagu Indonesia, ia hanyalah pada melodi dan komposisinya saja.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, nyanyian Misha memang mempunyai signature yang tersendiri sendiri. Sama ada dari segi tonasi, cara mempersembahkan sesebuah lagu mahu pun ketika beraksi di atas di pentas dengan bahasa tubuh serta  mata yang penuh aksi dan unsur dramatik, itulah Misha Omar!

Atas sebab itu, saya sentiasa mahu melihat dia membuat persembahan kerana dia adalah seorang penghibur yang cukup menarik untuk disaksikan secara live serta mampu menghiburkan saya bersama vokal nyanyian yang sedap dan gemersik itu.

Saya juga menggemari lagu Cinta Suci. Walaupun  lagu ini sebuah lagu pop R&B yang cukup easy listening, tapi ia tetap menarik untuk didengar terutama pada waktu yang cukup santai.

Bagaimanapun pilihan saya di dalam album ini tetap tertumpu pada lagu Cinta Adam & Hawa serta Nafas Cahaya. Bagi saya kedua-dua lagu ini merupakan  karya lagu yang cukup terbaik dalam album ini.

Kedua-dua komposisinya sama hebat. Cinta Adam & Hawa pada dasarnya adalah sebuah lagu yang berasakan pop tetapi mempunyai unsur rock serta penggunaan lirik yang berkaitan dengan unsur cinta dan ketuhanan.

Lebih menarik apabila ia diselitkan dengan unsur teaterikal. Disebabkan itu, kita akan dapat melihat perkembangan muziknya dari semasa ke semasa dan pada satu sisi yang lain, lagu ini padat feel pop Melayu. Kelainan inilah yang memberikan kejutan yang cukup menarik kepada lagu ini dan persembahan vokal Misha pula cukup superb kerana dia  sentiasa menandingi tenaga dalam lagu itu.

Nafas Cahaya pula lagu adalah lagu etnik kreatif yang cukup relevan dengan suasana pada masa sekarang. Irama etnik  yang pelbagai difusionkan dengan irama pop dan Misha membawakan lagu ini dengan cara yang tersendiri.

Lagu lain seperti Sembunyi dan Ku Seru pula menyerlah kerana ia mempunyai melodi yang cukup kuat serta mudah meninggalkan kesan di jiwa pendengar. Tapi, saya suka duet Misha dengan Andy Flop Poppy. Sangat kena dan sangat sesuai.

sumber: murai


Sinopsis Filem KAPOWW!!! – Atoi The Kultur Boy

March 18, 2009 by krsuicide  
Filed under Filem & Album

Sinopsis KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy

Sebuah keluarga superhero – “keluarga Astromen” berbakti melindungi rakyat Malaysia daripada anasir-anasir jahat.  Mereka adalah superhero yang disukai oleh ramai orang.

Atoi, seorang remaja yang sentiasa bernasib malang bercita-cita menjadi seorang superhero.  Dia mahu menolong orang dan menjadi kebanggaan ibunya. Namun, dengan keadaan dirinya itu, Atoi sering dibuli dan diperkecilkan oleh gangster kampung, diketuai oleh Faibo. Hanya Aboo, kawan baiknya yang memahami dan menggalakkan misi Atoi.  Aboo cuba yang terbaik membantu Atoi untuk mendapatkan kuasa yang sudah lama diidamkannya itu.  Aboo banyak merujuk kepada buku-buku komik Spiderman, Superman, Batman dan lain-lain.  Dan mereka mencuba pelbagai cara… disengat tebuan, kejutan eletrik, dilanggar keretapi… namun sia-sia belaka, malahan menambahkan kekecewaan dan kesedihan ibunya.

Pada suatu petang, Dolet, kerbau Atoi tiba-tiba hilang kerana lari dari rumah.  Dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir, Atoi keluar mencari Dolet.  Ketika berteduh di bawah sepohon pokok, Atoi disambar petir.  Setelah sedar daripada pengsan Atoi memperolehi kuasa superheronya – boleh bergerak sepantas kilat, mata setajam mata pisau…

Dalam masa yang sama, Persatuan Superhero Malaysia sedang mencari superhero baru untuk dilatih.  Selepas menyelamatkan Siti daripada Faibo, dan disaksikan oleh Persatuan Superhero Malaysia dan penduduk kampung, Atoi terpilih sebagai superhero baru Malaysia.  Atoi kemudiannya mengikut Din Abu (pengurus kepada superhero) ke KL, dan berjanji kepada mereka di kampung, yang beliau tidak akan melupakan mereka.

Atoi Budak Kultur kini menjadi sensasi terkini di KL.  Namanya meniti di bibir.  Beliau menumpaskan banyak jenayah, lebih pantas dan lebih baik daripada Geng Astromen.  Orang ramai menjadikannya idola dan menyayangi beliau. Atoi mengalami kejutan budaya.  Beliau menukar namanya kepada Azroy.  Atoi kini dikelilingi oleh arak dan gadis-gadis cantik.  Sikap berlagak Atoi menyebabkan beliau menghina ibu sendiri yang datang mencarinya di sidang akhbar pelancaran album barunya.  Atoi malu dengan ibu yang berbaju kurung, teman wanita dari kampung, dan kawan baik yang bodoh-bodoh alang.  Atoi berpura-pura tidak mengenali mereka. Rakyat melihat kelakuan buruknya dan semua orang terkejut. Atoi kehilangan peminat, rakan-rakan, penaja, rumah, kereta lumbanya dalam sekelip mata.  Atoi kini dipulaukan oleh semua orang.

Mengetahui Atoi sangat bergantung kepada sejenis minuman popular untuk meransang kuasanya, arahan dikeluarkan oleh kerajaan, jika sesiapa dilihat memberi Atoi minuman tersebut, mereka akan didakwa! Atoi putus asa… beliau kehilangan kuasa, juga keluarga.  Beliau sedar kesilapannya tetapi sudah terlambat! Keluarganya telah diculik oleh kuasa jahat, Alakazambo!  Superhero lain juga tidak lagi bersamanya, dan tiada siapa mahu membantu.

Mampukah Atoi menyelamatkan keluarganya? Adakah beliau akan memiliki kembali kuasanya?  Siapa Alakazambo dengan kuasa sihir jahatnya itu?? Tonton Kapoww!!! untuk mengetahui jawapannya… KAPOWW!!!

Senarai Para Pelakon Filem KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy

  1. Atoi – Zizan Raja Lawak
  2. Aboo – Bell Ngasri
  3. Siti Nurhasnita – Lisa Surihani
  4. Astromen Mak – Rosnah Mohd Aris
  5. Astromen Wau – Awie
  6. Astromen Belalang – Harun Salim Bachik
  7. Astromen Sedut – Delyla
  8. Din Abu – Afdlin Shauki
  9. Mak Jah – Norlia Ghani
  10. Faibo – Khir Rahman
  11. Zamin – Bob Kuman
  12. Mi Belit – Soffi Jikan
  13. Pak Nan – Usop Kopratasa
  14. Jen Ucop – Rashidi Ishak
  15. Pria Perkasa – Zailani
  16. Dukun Ngesot – Bandi Amok
  17. Lola – Sherry Ibrahim
  18. Melisa – Aishah Sinclair
  19. Ketua Geng Jerangkung – Henzi Andalas
  20. Pereka Fesyen – Patrick Teoh
  21. Mamak – Sathiya

Drama Together – Kisah Gadis Antisosial

March 17, 2009 by krsuicide  
Filed under Filem & Album

Drama ini mengisahkan Momo seorang gadis manis yang kurang gemar bergaya berlebih-lebihan, apatah lagi mengikuti perkembangan fesyen semasa. Idolanya ialah Casaba the Alien Prince, iaitu satu watak dari sebuah komik yang dibaca sejak kecil. Dia yang sentiasa hidup dalam dunianya sendiri dan tidak mempunyai ramai kawan berharap suatu hari nanti si putera akan datang membawanya ke tempat pergi dan mereka akan hidup bahagia selamanya.

Momo yang kematian ibu bapa tinggal bersama kakaknya ChuChu. Malang bagi Momo kerana ChuChu seorang yang pemalas dan dia terpaksa menguruskan kehidupan ChuChu. Kerana tidak suka bergaul, Momo hanya mempunyai seorang kawan di sekolah bernama Chia-Sen. Chia-Sen seorang atlit yang bukan saja kacak, malah pewaris harta kepada seorang ahli perniagaan terkenal.

Walaupun Chia-Sen kelihatan seperti seorang lelaki normal, namun beliau mempunyai IQ yang begitu rendah seperti budak yang berusia lapan tahun dan kerana itu beliau digelar Forrest Gump. Chia-Sen begitu mengambil berat terhadap Momo sudah berharap persahabatan mereka akan berkekalan sampai bila-bila.

Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, jangan lupa untuk menonton Together di 8TV setiap Sabtu , jam 6.30 petang. Anda juga boleh menonton siaran 8TV menerusi saluran 708 Astro.

sumber: berita harian

Sinopsis Filem Talentime the Movie

March 15, 2009 by krsuicide  
Filed under Filem & Album

Sebuah pertandingan pencarian bakat mempertemukan dua hati – Melur, seorang gadis Melayu kacukan dengan seorang pelajar lelaki berbangsa India, Mahesh. Melur, dengan suaranya yang merdu, bernyanyi sambil bermain piano adalah salah seorang daripada tujuh finalis pertandingan Talentime sekolahnya, di bawah kelolaan Cikgu Adibah.

Begitu juga Hafiz, memikat dengan bakat nyanyian sambil bermain gitar, yang membahagikan masa antara persekolahan dan bersama ibu yang dirawat di hospital kerana menghidap tumor otak. Ia bermula selepas Mahesh, antara pelajar yang ditugaskan menjemput finalis ke sekolah bagi menjalani latihan, menghantar surat pemberitahuan lulus ujibakat ke rumah Melur. Rupanya yang kacak memikat hati gadis itu. Di awal perkenalan, malapetaka menimpa keluarga Mahesh apabila bapa saudaranya, Ganesh yang menjaga keluarga itu sejak ketiadaan ayah, mati ditikam di hari perkahwinannya.

Melur, menyangka sikap membisu Mahesh kerana sedih dengan tragedi itu, berang apabila terus tidak dipedulikan. Dia bagaimanapun kesal selepas diberitahu oleh Hafiz mengenai keadaan sebenar Mahesh.Itu merubah persepsi Melur terhadap Mahesh. Begitu juga Mahesh yang menyenangi kehadiran gadis itu yang sering mengungkapkan puisi indah. Mahesh, menyedari perhubungan itu akan ditentang, menyembunyikannya daripada pengetahuan ibunya yang masih berduka di atas kematian Ganesh. Namun, rahsia itu terbongkar dan Mahesh dipukul di depan Melur sendiri. Cuma sehari sebelum berlangsungnya pertandingan, apakah Melur cukup gagah untuk menyanyikan bait puitis lagunya ketika hatinya sedang sengsara mengingatkan Mahesh? Bagaimana dengan Mahesh yang bertemu cinta pertamanya? Di malam Talentime, segalanya terungkai.

Trivia Filem Talentime The Movie:

1. Ini adalah kali pertama Yasmin Ahmad mengarah sebuah filem dengan ensemble yang sebegini besar. Dan dirasakannya filem tersebut adalah karyanya yang terbaik sehingga kini.

2. Rahsia Yasmin dalam mencungkil bakat baru seperti Sharifah Amani, Mohd Shafie Naswip dan kini Mahesh Jugal Kishor adalah mencari seorang yang berkarisma berbanding seorang yang mempunyai kebolehan mendalami sesuatu watak.

3. Idea untuk ‘Talentime’, menurut Yasmin, terlahir kerana melihat bagaimana ramainya orang di negara ini yang terkejar-kejar dengan kemewahan dan kuasa sehingga sanggup melakukan penipuan. Kerana itu, pengakhiran ‘Talentime’ ditulis sebegitu (kalau nak tahu bagaimana filem ini berakhir, anda perlu menontonnya sendiri) kerana ingin mengingatkan penonton apa yang penting bukanlah kemenangan atau persaingan tetapi persahabatan kerana melaluinya negara kita yang berbilang bangsa ini akan lebih teguh.

4. Suara nyanyian Melur dan Hafiz sebenarnya adalah suara Atilia dan Aizat. Lagu-lagu dalam filem ‘Talentime’ akan dimasukkan dalam album runut bunyi filem itu yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. Akan disertakan juga versi Bahasa Malaysianya.

5. Sukania Venugopal yang memainkan watak ibu Mahesh sebenarnya tidak fasih berbahasa Tamil. Dia telah mendapatkan khidmat seseorang untuk membimbingnya dalam sebutan agar ia kedengaran lebih ‘natural’ dan asli.

6. ‘Talentime’ seakan satu ‘family affair’ dengan membariskan beberapa gandingan anak-ibu termasuk Pamela Chong and ibunya Susan serta Elza Irdalynna dan ibunya Azean Irdawaty.

7. Kos keseluruhan untuk pembikinan ‘Talentime’ berjumlah RM1.5 juta.

8. Yasmin berhasrat membuat sekuel kepada ‘Talentime’ tetapi kali ini ia akan  berlatarkan di sebuah sekolah rendah.

9. ‘Talentime’ telah dicalonkan untuk Anugerah SIGNIS di 33rd Hong Kong International Filem Festival.

Blog Widget by LinkWithin
Page 1 of 41234»